Search This Blog

Sunday, 8 January 2012

Menjadi Menantu Kesayangan

Berikut beberapa panduan untuk menjadi menantu kesayangan:

1. Mulakan berkenal-kenalan dengan keluarga (bakal) mentua sebaik sahaja anda sah bertunang. Jika tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan masa mengunjungi rumah mentua.

2. Jangan berkunjung dengan tangan kosong. Bawalah buah tangan. Paling kurang, bawalah kuih-muih atau buah-buahan. Namun, lebih elok jika anda membawa cenderahati seperti sepasang kain sebagai tanda kenangan.

3. Kenali sikap sebenar mentua anda. Cuba tanya pasangan anda kesukaan dan kebencian mentua. Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan ketika menjadi ahli keluarganya kelak.

4. Jangan sesekali anda memarahi anaknya di hadapan mereka (mentua) setelah berkahwin. Keadaan tersebut menggambarkan sikap sebenar anda terhadap anak mereka. Keadaan tersebut mungkin akan membuat mentua benci.

5. Cuba mengambil hati mentua dengan bercerita mengenai pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hati mereka pada setiap kali bertandang. Berceritalah dengan sepenuh perhatian agar mentua tidak bosan. Tetapi, jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh, dan boleh memalukan diri sendiri.

6. Berkongsi minat dengan mentua. Contohnya, kalau dia suka bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia suka memasak, cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang diminatinya. Tetapi, anda dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin dia menganggap anda main-main.

7. Apabila tiba hari-hari penting seperti Hari Ibu, Hari Bapa, ulang tahun perkahwinan, dan hari lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda mengunjungi rumah mentua dengan membawa hadiah, atau anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.

8. Paling penting, jaga pertuturan anda. Jika sebelum ini anda seorang yang ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar sentiasa menjaga pertuturan anda. Kata orang, kerana mulut badan binasa. Oleh itu, berhati-hati semasa menuturkan sesuatu di hadapan mentua agar tidak menyinggung perasaan keluarga mereka.

9. Jika ada majlis kenduri, pastikan anda rajin membantu mengemaskan apa yang patut, terutamanya jika kenduri dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak barang yang patut dibasuh seperti periuk, kuali, gelas, atau pinggan mangkuk. Meskipun anda penat, cuba sibukkan diri anda dengan membantu apa yang patut. Kalau majlis dilakukan secara catering, cubalah mengemaskan apa yang patut di dalam atau di luar rumah.

10. Cuba mengasihani keluarga mentua seperti anda menyayangi keluarga sendiri. Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri agar hubungan akan bertambah mesra, dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Source: Metro Perdana, Julai 2011 

1 comment: